Tuesday, October 26, 2010

S OTHMAN KELANTAN TULIS KARYA PORNO

SASTERAWAN Negara (SN), S Othman Kelantan, membongkar rahsia bahawa beliau pernah ditawarkan RM 600 untuk menghasilkan karya picisan yang sarat unsur seks pada zaman awal pembabitannya dalam dunia penulisan karya kreatif.
            Tawaran yang menarik minatnya kerana kebetulan beliau kesempitan wang ketika itu nyaris ditunaikan tetapi terpaksa ditolak selepas penerbit mahu mengekalkan nama S Othman Kelantan pada karya berkenaan.
            ?Penerbit mahu nama saya dikekalkan untuk memastikan karya berunsur seks itu mendapat sambutan hebat, sekali gus membolehkan mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda,? katanya di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
            Beliau berkata demikian ketika memperkatakan Karya Picisan dan Popular di Malaysia pada program Gelodak Seni Alaf Baru Bersama Dua Sasterawan Negara (SN) anjuran Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Badan Penulis & Karyawan Kreatif (Pikir).
            Program dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur serta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) memuatkan beberapa acara berlangsung di Dewan Seminar DBP Kota Bharu dan Dataran MPKB.
            S Othman mengatakan beliau menolak tawaran itu kerana enggan namanya dikaitkan dengan novel picisan yang disifatkannya sama sekali tidak bernilai meskipun 10 sen dan boleh memudaratkan.
            ?Saya boleh menulis karya picisan sehingga satu babak berahi pun boleh menjadi sebuah novel tetapi itu bukan tujuan saya.  Ia akan menjadikan saya sebagai seorang yang tidak berakhlak, tidak berharga dan tidak bermoral,? katanya.
            S Othman melihat karya picisan sebagai tulisan yang memuatkan seksualiti manusia, menimbulkan rangsangan negatif, tidak bermoral, anti susila dan disampaikan dalam gaya bahasa mudah difahami.
            ?Temanya mungkin dimulakan dengan percintaan tetapi diakhiri dengan perlakuan seks tidak bermoral.  Tidak boleh dinafikan ia mendapat sambutan.  Motifnya untuk mendapatkan wang tanpa memikirkan soal halal haram,? katanya.
            Wacana yang dipengerusikan Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas, turut dihadiri penggiat seni dan sastera Kelantan serta pelajar sekolah berhampiran.
            S Othman mengkategorikan novel Subuh di Tepi Laut Hoki, Bilik 69, Bilik 69 di Bandung, Tuan Qadhi, Empat Kali Haram, semuanya karya Ahmad Lutfi sebagai picisan atau pornografi.
            ?Pengarang novel berkenaan menggunakan cara penyampaian cerita terlalu menyerlah mengenai perbuatan negatif manusia, sekaligus menimbulkan rangsangan negatif kepada pembaca.
            ?Novel sedemikian mendapat sambutan hangat kerana menimbulkan keasyikan dan rangsangan seks berbeza dengan karya popular yang meskipun menampilkan tema percintaan tetapi tidak menyertakan perlakuan seks,? katanya.
            Beliau melihat karya serius boleh menampilkan semua tema, termasuk cinta tetapi pengolahannya banyak menyelitkan pemikiran sama ada hal kemasyarakatan seperti agama, politik, ekonomi dan segala karenah kehidupan manusia.
            ?Teknik penyampaian novel serius, pelbagai selain persoalan terpancar daripada pengolahan yang kompleks seperti dalam novel Seluang Menodak Baung (SN Datuk (Dr) A Samad Said atau Lingkaran (SN (Dr) Arena Wati,? katanya.
            Sempena majlis gelodak seni itu turut berlangsung wacana Dilema Kebebasan Penulis: Antara Realiti dan Kepalsuan yang diperkatakan Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP, Mohd Daud Mohamad dan ahli PPK, Dr Abdul Rahman Ibrahim.
            Dinsman pula memperkatakan Antologi Puisi Gelodak manakala Ketua Jabatan Sejarah, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mohd Mokhtar Hassan (Kumpulan Puisi Suara Dari Dinding Dewan karya A Samad Said).
            Tidak ketinggalan turut berlangsung majlis deklamasi puisis yang menampilkan A Samad, Usman Ibrahim, Mustafa Jusoh, Norzailani Mohd Nuzi, Wadi Leta, Zakaria Mamat dan A Aziz Ismail di Dataran MPKB.
            Pertunjukan Dikir Barat oleh Kumpulan Dikir Barat oleh Kumpulan Dikir Barat Kota Bharu turut berlangsung pada majlis yang berlangsung selama dua hari manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyempurnakan majlis perasmian di Dataran MPKB.

Teori sastera tempatan mampukah kita setaraf dengan barat?


- Kearifan dan peradaban tempatan dalam khazanah kesusasteraan Melayu perlu dikaji, disebarkan dan dimanfaatkan oleh masyarakat yang berdepan dengan gelombang globalisasi.
- Para ilmuwan, sasterawan, pujangga, teknokrat, birokrat, dan khalayak perlu menggerakkan usaha mempergiat dan memperkaya sastera Melayu dalam rangka mendukung usaha memulihara khazanah alam dan budaya Nusantara untuk menyokong pembinaan Negara bangsa dan jati diri bangsa.
- Karya sasterawan dan sumber intelektual peribumi yang berasaskan teks sastera Melayu perlu diterbitkan dalam pelbagai bentuk produk sama ada konvensional mahupun elektronik bagi tujuan pendidikan.
- Penelitian dan pemasyarakatan Sastera Islam, khususnya sastera sufi, dipertingkatkan kerana karya sastera ini membekalkan asas pandangan jagat yang sepunya dan merupakan penghubung kepada pemikiran tradisi dan moden.
- Untuk menempatkan sastera Melayu tradisional dan moden di persada antarabangsa, maka karya-karya sasterawan tempatan dan hasil kajian mengenai karya dan ketokohan mereka perlu diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa utama dunia, dan disebarkan secara agresif dengan kerjasama penerbit-penerbit antarabangsa.
- Untuk mengangkat darjat kajian sastera Melayu dari perspektif bandingan maka kerjasama erat pengamat dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura dan dari luar Dunia Melayu perlu terus ditingkatkan.
- Oleh sebab terdapat berbagai-bagai hambatan yang dialami oleh pengarang Melayu untuk memenangi Hadiah Nobel, maka wajar dicari kesepakatan bagi mewujudkan Anugerah Sastera Dunia Melayu dengan jumlah hadiah setanding dengan Hadiah Nobel.
- Dalam usaha memartabatkan lagi sastera Melayu, tokoh-tokoh yang telah banyak menyumbangkan jasa kepada pembinaan dan pengembangan sastera Melayu perlu diberi pengiktirafan serantau, yang nilainya lebih tinggi daripada nilai hadiah yang wujud sekarang ini.
- Bagi tujuan penglestarian khazanah sastera Melayu tradisional dan moden, khususnya puisi Melayu tradisional, karya-karya pilihan perlu menjadi hiasan peragaan di tempat-tempat awam yang popular.
- Untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, penyebaran dan pengembangan sastera serantau, dicadangkan pusat pengajian kebudayaan dan kesusasteraan Nusantara ditubuhkan di Malaysia.

Edisi Khas Sasterawan Negara S.Othman Kelantan: Ruang Perjalanan




Novel yang sebenar adalah tentang manusia, bukan cerita. Manusia yang sebenar adalah himpunan idea. Idea itulah yang menentukan keintelektualan makhluk manusia di muka bumi yang dapat menguasai segala bidang kehidupan. Novel Ruang Perjalanan merupakan novel idea seluruhnya tanpa cerita. Ia hanya lontaran idea dan pemikiran manusia tentang kehidupan masa lalu, sekarang dan akan datang. Tidak ada gerakan fizikal yang bererti selain gerakan dalaman yang menunjukkan bahawa manusia itu adalah akal fikirannya. Ruang Perjalananadalah satu ruang yang membelah tradisi penulisan novel di negara ini. Ia ingin meneroka kepada perjalanan psikologi manusia, menganalisis sejarah dan masa depan. Sebagaimana lumrah, idea manusia itu akan bertentangan dengan suatu idea yang lain, dan berkemungkinan akan menjadi lemah apabila muncul idea lain yang lebih kuat dan bermanfaat. Dalam situasi yang gawat begitu, idea up-to-date Islam yang berdasarkan al-Quran dan hadis adalah satu-satunya yang unggul yang boleh membawa manusia ke ruang perjalanan hidup yang hakiki. Semuanya ini terakam dengan seada-adanya dalam novel Ruang Perjalanan ini.  "

Anugerah

Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003).

    S. Othman kelantan dan sastera islam

    PANDANGAN S. Othman Kelantan, Sasterawan Negara kesembilan terhadap apa yang dinamakan kesusasteraan Islam dapat disimpulkan menerusi buku Allahyarham, Arah Pemikiran Sastera Malaysia. Salah satu sumbangan yang melayakkan allahyarham menerima Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 2003 ialah pembabitan di dalam fenomena sastera Islam. Ini disebut di dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara 2003 ketika membincangkan karyanya Ruang Perjalanan (1989). Laporan menyebut, “Ruang Perjalanan muncul ketika khalayak sastera sedang membahaskan mengenai sastera Islam sebagai satu genre dalam karya sastera. Ruang Perjalanan boleh digolongkan ke dalam genre sastera Islam.”

            Dewan Sastera Mac 2004 ikut memuatkan artikel Che Abdullah Che Ya berjudul Satu Perjalanan Kritis S. Othman Kelantan yang antara lain bertujuan mengangkat sumbangan S. Othman di dalam sastera Islam terutama menerusi buku Arah Pemikiran Sastera Malaysia. memperakukan Secara ringkas S. Othman Kelantan memperakukan yang dinamakan kesusasteraan Islam itu pada allahyarham antara lain ialah karya-karya, terutama dalam bentuk kreatif, yang menunjukkan kemurnian akhlak, moral, merangsangkan manusia untuk berbuat baik, bersyukur kepada nikmat Tuhan dan menyedari kebesaran-Nya memberi kesan yang positif kepada manusia dan menjelaskan sesuatu yang konstruktif. Karya itu dibina dalam bentuk struktur yang baik dan dalam bahasa yang kreatif dan imaginatif. Keperluan estetik diperlukan dalam kombinasi antara bentuk dan isi.
               Di dalam bahagian pertama buku itu, S. Othman antara lain menyentuh kemasukan Islam di Malaysia, perkembangan fikiran melalui kitab-kitab, kebangkitan fahaman kaum muda, kebangkitan ulama-ulama Kelantan dan Patani dan penyebaran Islam menerusi media massa. Adalah signifikan untuk dinyatakan, allahyarham menerima hujah Syed Naquib al Attas bahawa kedatangan Islam telah mengangkat ketinggian bahasa Melayu. Syed Muhammad Naguib dalam bukunya Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu,
    menyarankan Hamzah Fansuri sebagai tokoh pemodenan kesusasteraan Melayu. Sasterawan Negara ini menyetujui penerokaan alam falsafah, tasawuf dan kesufian di dalam karya- karya klasik khususnya pada karya Hamzah Fansuri dan Tok Kenali menjadi ukur tara awal apakah yang dimaksudkan dengan sastera moden. Malah bagi beliau keutuhan dan pembangunan bahasa Melayu bergerak sejajar dengan penggunaan tulisan jawi dan kelahiran karya sastera Islam.
             S. Othman di dalam bahagian ini juga menggariskan dengan terang apakah yang beliau maksudkan dengan kebudayaan, yang jelas sekali ikut disandarkan kepada ajaran Islam. Untuk melihat sesuatu yang akan disebut dengan nama kebudayaan, haruslah diasaskan kepada tiga perkara: iaitu dilandaskan kepada muslahat almursalah, atas kepentingan umum. Seterusnya, segala usaha pengkaryaan dilandaskan kepada tujuan seni, yakni zarif. Dan terakhir, segala usaha itu dilandaskan kepada akibat, iaitu fikiran untuk apa sesuatu usaha itu
    dijalankan.
                     Bertitik tolak dari pandangan-pandangan yang jelas ini, S. Othman mengemukakan konsep sastera Islam yang menurutnya tidak dapat tidak bermula atau bersumberkan dari al-Quran dan Hadis. S. Othman juga beranggapan yang karya sastera Islam dapat dilahirkan dengan berkesan oleh penulis-penulis dengan kefahaman Islam yang mendalam. Sasterawan Negara ini turut meletakkan beberapa ciri sastera Islam iaitu antara lain memancarkan ilmu pengetahuan. Pengarang juga menurut S. Othman mesti memancarkan sifat mukalaf, iaitu sikap bertanggungjawab atas semua tugas dan membina semangat untuk berbakti terhadap agama, bangsa dan tanahair.
              Selain dari itu satu lagi gagasan S. Othman iaitu mengenai kritikan Melayu-Islam wajar disentuh di sini, ia adalah satu cubaan S. Othman meletakkan asas keislaman kepada genre kritikan di dalam sastera tanah air. S. Othman mengemukakan kritikan Melayu-Islam ini menerusi dua eseinya di Dewan Sastera iaitu Kritikan dari Perspektif Melayu dan Islam (Mac 1989) dan Masalah Kritikan Kita (Novmber 1991).

             Berdasarkan dua esei ini dikesani sekurang-kurangnya enam prinsip kritikan Melayu- Islam iaitu, teguran yang menyedarkan, beri pengetahuan yang bermanfaat, berhujah dengan pengetahuan yang lebih baik, mendatangkan pemikiran atau membolehkan berfikir, menggambarkan kebijaksanaan, sama ada individu yang
    menyampaikannya atau matlamat yang dituju iaitu dari kaedah atau cara pendekatan yang dipilih dan kritikan harus memancarkan peribadi insaniah yang berfikir dan tunduk kepada kebenaran hakiki.
           S Othman turut menegaskan bahawa kritikan Melayu-Islam ini adalah bertujuan murni untuk membina martabat manusia sebagai makhluk bersopan, sebagai makhluk berbudaya dan sebagai makhluk bermasyarakat. Adalah jelas S. Othman ikut melibatkan diri di dalam fenomena sastera Islam di Malaysia melalui pengemukaan gagasan pemikiran dan penghasilan karya kreatif. Sumbangan Allahyarham yang meninggal dunia pada 31 Julai lalu serba sedikit ikut merancakkan kemeriahan dunia sastera Islam.




    
    

    Biodata



    S. Othman Kelantan atau nama sebenarnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan. S. Othman Kelantan pulang ke rahmatullah pada jam 12.05 tengah malam tadi di Hospital Serdang.  Sasterawan Negara yang ke-9, S. Othman Kelantan, 69,meninggal disebabkan serangan sakit jantung, paru-paru berair dan tekanan darah rendah. Khabarnya, akan dikebumikan tanah perkuburan di Seksyen 3 Tambahan, Bandar Baru Bangi.
    Jawatan terakhirnya yang disandang ialah Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Sehingga kini S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja.
              Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sabak hingga lulus darjah V pada tahun 1950.  Selepas itu bersekolah pula, di Sekolah Melayu Rambutan Rendang hingga lulus darjah VI. S. Othman lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dalam tahun 1964 dan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan pada tahun 1971.  Pada tahun 1979, S. Othman berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera sebagai mahasiswa luar kampus Universiti Sains Malaysia dan mendapat ijazah Sarjana Sastera dalam tahun 1982 dari universiti yang sama dan Ph. D.  Dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1995).  Sebagai guru, S. Othman telah mengajar di beberapa buah sekolah (semuanya di Kelantan), bermula di Sekolah Rendah Gaal dan sekolah terakhirnya Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kota Baharu.  Setelah lulus ijazah Sarjana, S. Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun.  Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah penyelidik di Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) hingga beliau bersara.
            S. Othman Kelantan adalah seorang penulis yang luas pembacaannya. Sejauh ini tidak kurang daripada sepuluh buah novel dan lima buah antologi cerpen telah dihasilkannya. Beliau mula menulis dan  menhantar  karya tersebut kepada akhbar Utusan Kanak-kanak dan Tunas, kemudian Hiboran dan Muatiara, S. Othman Kelantan mula menapak sebagai penulis.  Beliau menulis puisi dan cerpen untuk majalah Hiboran dan Mutiara.  Dengan majalah yang bercorak hiburan itulah, beliau dapat menguji bakat dan meyakinkan dirinya untuk terus berkarya dan bercita-cita menjadi penulis yang terkenal.  Berkat ketabahan dan kegigihan serta minatnya yang besar terhadap dunia penulisan kreatif, S. Othman Kelantan hari ini terkenal sebagai seorang novelis dan cerpenis penting tanah air.
            S. Othman Kelantan menulis puisi, cerpen, novel, serta esei/kritikan.  Dalam bidang cerpen, S. Othman Kelantan telah berhasil membentuk namanya sebagai cerpenis yang berjaya sesudah melahirkan sebuah cerpen bertajuk “Pahlawan Lembu” yang hingga kini cukup popular di kalangan peminat cerpen tanah air.  Sehingga kini.  S. Othman telah menghasilkan lebih 170 buah cerpen   S. Othman telah beberapa kali memenangi hadiah RM100.00 untuk cerpen pilihan akhbar Berita Harian dan majalah Mastika.  Panel Hadiah Karya Sastera juga telah memilih beberapa buah cerpen S. Othman sebagai antara cerpen yang terbaik untuk tahun 1972, 1973 dan 1975.  Sebagai penulis cerpen, bakatnya memperlihatkan perkembangan yang meyakinkan.  Tidak terduga oleh kita bahawa S. Othman Kelantan yang pada satu ketika dahulu amat gemar mengutarakan kisah-kisah detektif dan ala cowboy itu, akhirnya meneroka ke daerah persoalan yang lebih besar mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah.
    Beliau pernah memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962 dengan novelnya “Pelangi”.  Kejayaan ini memberikan keyakinan kepadanya untuk menulis novel dan dengan itu terbitlah novel sulungnya pada tahun 1966 bertajuk Pengertian. Walau bagaimanapun, hanya sesudah beliau menghasilkan novel ketiganya berjudul Angin Timur Laut, baharulah kebolehannya dalam bidang ini mendapat perhatian masyarakat pembaca.  Novel ini kemudiannya banyak diperkatakan dan dianggap sebagai hasil yang berjaya dalam kegiatannya menulis novel pada tahun 1960-an.  Sesudah itu terbit pula novel-novelnya yang lain.  Novel-novelnya ini membawakan persoalan politik di samping menggambarkan sikap dan pandangan hidup pengarangnya.

    S Othman Kelantan juga telah mengkritik keras pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris oleh pihak kerajaan pada ketika itu. "Beliau seorang yang tidak pernah merahsiakan pandangan beliau mengenai sikap kerajaan terhadapa bahasa Melayu dan sastera," katanya. Tambahnya, selain Shahnon Ahmad, arwah adalah penulis yang terawal terlibat dengan penulisan novel yang menonjolkan imej keislaman menerusi novel beliau berjudul 'ustaz'.  
    Selain menulis cerpen dan novel, S Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 364 buah esei/kritikan. Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau turut terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).

    Thursday, October 21, 2010

    Karya dan Sumbangan Beliau

    Novel 
    :
    Pengertian, Machang: Penerbitan Pustaka Murni, 1966, 140 hlm. Edisi baru dengan judul Norbani, 1980; Pertentangan, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1967, 187 hlm.; Angin Timur Laut, Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1969, 138 hlm.; Perjudian, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 161 hlm.; Juara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, 159 hlm.; Perwira, Pulau Pinang: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1980, 219 hlm.; Ruang Perjalanan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, 276 hlm.; Wajah Seorang Wanita, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 353 hlm.; Ustaz, Bangi: Citra Publishing, 1991, 252 hlm.; Nagogho Astana, Taman Melawati: Pustaka Nusa, 1997, 279 hlm.
    Cerpen 
    :
    10 Cerpen Masyarakat III (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1963, 138 hlm.; Gelisah (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1967, 165 hlm.; 13 Cerpen, Kota Bharu: Syarikat Dian Sdn. Bhd., 1970, 120 hlm.; Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1977, 446 hlm.; Surat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 142 hlm.; Ibu, Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd., 1980, 158 hlm.; Minden, Senjamu Adalah Perubahan (antologi bersama), Pulau Pinang: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1981, 136 hlm.; Menjunjung Titah Perintah (antologi bersama), Subang Jaya: Tra-Tra Publishing & Trading CO., 1984, 246 hlm.; Menunggu Ratu Adil (antologi bersama),   Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1984, 218 hlm.; Mimpi Paduka (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 172 hlm.; Perkahwinan Rama-rama, Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1984, 276 hlm.; Angin Pulau (antologi bersama), Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1985, 433 hlm., Dongeng Merdeka (antologi bersama), Petaling Jaya:  Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 339 hlm.; Alun Menggulung Perlahan (antologi bersama), Petaling Jaya:  Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 286 hlm.; Beberapa Pembetulan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 242 hlm.
    Kajian
    :
    Filsafat Ala, Kota Baharu: Pustaka Aman Press, 1963, 168 hlm.; Novel: Tanggapan dan Kritikan, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1986, 210 hlm.; Teknik Mengkaji Novel (Dalaman dan Luaran), Kuala Lumpur: Karya Bistari Sdn. Bhd., 1986, 106 hlm.; Arah Pemikiran Sastera Malaysia, Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, 1987, 207 hlm.;  Kecenderungan Baru dalam Novel Melayu: Satu Kajian Struktur, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, 239 hlm.; Pemikiran Satira dalam Novel Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 329 hlm.
    Esei/Kritikan
    :
    Sastera dan Agama (antologi bersama), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 103 hlm.; Kelantan dalam Perspektif Sosiobudaya: Satu Kumpulan Esei (antologi bersama), Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1985, 348  hlm.