Tuesday, October 26, 2010

Biodata



S. Othman Kelantan atau nama sebenarnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan. S. Othman Kelantan pulang ke rahmatullah pada jam 12.05 tengah malam tadi di Hospital Serdang.  Sasterawan Negara yang ke-9, S. Othman Kelantan, 69,meninggal disebabkan serangan sakit jantung, paru-paru berair dan tekanan darah rendah. Khabarnya, akan dikebumikan tanah perkuburan di Seksyen 3 Tambahan, Bandar Baru Bangi.
Jawatan terakhirnya yang disandang ialah Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Sehingga kini S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja.
          Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sabak hingga lulus darjah V pada tahun 1950.  Selepas itu bersekolah pula, di Sekolah Melayu Rambutan Rendang hingga lulus darjah VI. S. Othman lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dalam tahun 1964 dan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan pada tahun 1971.  Pada tahun 1979, S. Othman berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera sebagai mahasiswa luar kampus Universiti Sains Malaysia dan mendapat ijazah Sarjana Sastera dalam tahun 1982 dari universiti yang sama dan Ph. D.  Dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1995).  Sebagai guru, S. Othman telah mengajar di beberapa buah sekolah (semuanya di Kelantan), bermula di Sekolah Rendah Gaal dan sekolah terakhirnya Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kota Baharu.  Setelah lulus ijazah Sarjana, S. Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun.  Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah penyelidik di Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) hingga beliau bersara.
        S. Othman Kelantan adalah seorang penulis yang luas pembacaannya. Sejauh ini tidak kurang daripada sepuluh buah novel dan lima buah antologi cerpen telah dihasilkannya. Beliau mula menulis dan  menhantar  karya tersebut kepada akhbar Utusan Kanak-kanak dan Tunas, kemudian Hiboran dan Muatiara, S. Othman Kelantan mula menapak sebagai penulis.  Beliau menulis puisi dan cerpen untuk majalah Hiboran dan Mutiara.  Dengan majalah yang bercorak hiburan itulah, beliau dapat menguji bakat dan meyakinkan dirinya untuk terus berkarya dan bercita-cita menjadi penulis yang terkenal.  Berkat ketabahan dan kegigihan serta minatnya yang besar terhadap dunia penulisan kreatif, S. Othman Kelantan hari ini terkenal sebagai seorang novelis dan cerpenis penting tanah air.
        S. Othman Kelantan menulis puisi, cerpen, novel, serta esei/kritikan.  Dalam bidang cerpen, S. Othman Kelantan telah berhasil membentuk namanya sebagai cerpenis yang berjaya sesudah melahirkan sebuah cerpen bertajuk “Pahlawan Lembu” yang hingga kini cukup popular di kalangan peminat cerpen tanah air.  Sehingga kini.  S. Othman telah menghasilkan lebih 170 buah cerpen   S. Othman telah beberapa kali memenangi hadiah RM100.00 untuk cerpen pilihan akhbar Berita Harian dan majalah Mastika.  Panel Hadiah Karya Sastera juga telah memilih beberapa buah cerpen S. Othman sebagai antara cerpen yang terbaik untuk tahun 1972, 1973 dan 1975.  Sebagai penulis cerpen, bakatnya memperlihatkan perkembangan yang meyakinkan.  Tidak terduga oleh kita bahawa S. Othman Kelantan yang pada satu ketika dahulu amat gemar mengutarakan kisah-kisah detektif dan ala cowboy itu, akhirnya meneroka ke daerah persoalan yang lebih besar mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah.
Beliau pernah memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962 dengan novelnya “Pelangi”.  Kejayaan ini memberikan keyakinan kepadanya untuk menulis novel dan dengan itu terbitlah novel sulungnya pada tahun 1966 bertajuk Pengertian. Walau bagaimanapun, hanya sesudah beliau menghasilkan novel ketiganya berjudul Angin Timur Laut, baharulah kebolehannya dalam bidang ini mendapat perhatian masyarakat pembaca.  Novel ini kemudiannya banyak diperkatakan dan dianggap sebagai hasil yang berjaya dalam kegiatannya menulis novel pada tahun 1960-an.  Sesudah itu terbit pula novel-novelnya yang lain.  Novel-novelnya ini membawakan persoalan politik di samping menggambarkan sikap dan pandangan hidup pengarangnya.

S Othman Kelantan juga telah mengkritik keras pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris oleh pihak kerajaan pada ketika itu. "Beliau seorang yang tidak pernah merahsiakan pandangan beliau mengenai sikap kerajaan terhadapa bahasa Melayu dan sastera," katanya. Tambahnya, selain Shahnon Ahmad, arwah adalah penulis yang terawal terlibat dengan penulisan novel yang menonjolkan imej keislaman menerusi novel beliau berjudul 'ustaz'.  
Selain menulis cerpen dan novel, S Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 364 buah esei/kritikan. Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau turut terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).

1 comment:

  1. Semoga Allah mncucuri rahmat sepenuhnya ke atas roh abahku ini....almarhum abah...semoga tenang dan damai di sana...anaknda selalu rindukan abah.....

    ReplyDelete