Tuesday, October 26, 2010

S OTHMAN KELANTAN TULIS KARYA PORNO

SASTERAWAN Negara (SN), S Othman Kelantan, membongkar rahsia bahawa beliau pernah ditawarkan RM 600 untuk menghasilkan karya picisan yang sarat unsur seks pada zaman awal pembabitannya dalam dunia penulisan karya kreatif.
            Tawaran yang menarik minatnya kerana kebetulan beliau kesempitan wang ketika itu nyaris ditunaikan tetapi terpaksa ditolak selepas penerbit mahu mengekalkan nama S Othman Kelantan pada karya berkenaan.
            ?Penerbit mahu nama saya dikekalkan untuk memastikan karya berunsur seks itu mendapat sambutan hebat, sekali gus membolehkan mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda,? katanya di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
            Beliau berkata demikian ketika memperkatakan Karya Picisan dan Popular di Malaysia pada program Gelodak Seni Alaf Baru Bersama Dua Sasterawan Negara (SN) anjuran Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Badan Penulis & Karyawan Kreatif (Pikir).
            Program dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur serta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) memuatkan beberapa acara berlangsung di Dewan Seminar DBP Kota Bharu dan Dataran MPKB.
            S Othman mengatakan beliau menolak tawaran itu kerana enggan namanya dikaitkan dengan novel picisan yang disifatkannya sama sekali tidak bernilai meskipun 10 sen dan boleh memudaratkan.
            ?Saya boleh menulis karya picisan sehingga satu babak berahi pun boleh menjadi sebuah novel tetapi itu bukan tujuan saya.  Ia akan menjadikan saya sebagai seorang yang tidak berakhlak, tidak berharga dan tidak bermoral,? katanya.
            S Othman melihat karya picisan sebagai tulisan yang memuatkan seksualiti manusia, menimbulkan rangsangan negatif, tidak bermoral, anti susila dan disampaikan dalam gaya bahasa mudah difahami.
            ?Temanya mungkin dimulakan dengan percintaan tetapi diakhiri dengan perlakuan seks tidak bermoral.  Tidak boleh dinafikan ia mendapat sambutan.  Motifnya untuk mendapatkan wang tanpa memikirkan soal halal haram,? katanya.
            Wacana yang dipengerusikan Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas, turut dihadiri penggiat seni dan sastera Kelantan serta pelajar sekolah berhampiran.
            S Othman mengkategorikan novel Subuh di Tepi Laut Hoki, Bilik 69, Bilik 69 di Bandung, Tuan Qadhi, Empat Kali Haram, semuanya karya Ahmad Lutfi sebagai picisan atau pornografi.
            ?Pengarang novel berkenaan menggunakan cara penyampaian cerita terlalu menyerlah mengenai perbuatan negatif manusia, sekaligus menimbulkan rangsangan negatif kepada pembaca.
            ?Novel sedemikian mendapat sambutan hangat kerana menimbulkan keasyikan dan rangsangan seks berbeza dengan karya popular yang meskipun menampilkan tema percintaan tetapi tidak menyertakan perlakuan seks,? katanya.
            Beliau melihat karya serius boleh menampilkan semua tema, termasuk cinta tetapi pengolahannya banyak menyelitkan pemikiran sama ada hal kemasyarakatan seperti agama, politik, ekonomi dan segala karenah kehidupan manusia.
            ?Teknik penyampaian novel serius, pelbagai selain persoalan terpancar daripada pengolahan yang kompleks seperti dalam novel Seluang Menodak Baung (SN Datuk (Dr) A Samad Said atau Lingkaran (SN (Dr) Arena Wati,? katanya.
            Sempena majlis gelodak seni itu turut berlangsung wacana Dilema Kebebasan Penulis: Antara Realiti dan Kepalsuan yang diperkatakan Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP, Mohd Daud Mohamad dan ahli PPK, Dr Abdul Rahman Ibrahim.
            Dinsman pula memperkatakan Antologi Puisi Gelodak manakala Ketua Jabatan Sejarah, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mohd Mokhtar Hassan (Kumpulan Puisi Suara Dari Dinding Dewan karya A Samad Said).
            Tidak ketinggalan turut berlangsung majlis deklamasi puisis yang menampilkan A Samad, Usman Ibrahim, Mustafa Jusoh, Norzailani Mohd Nuzi, Wadi Leta, Zakaria Mamat dan A Aziz Ismail di Dataran MPKB.
            Pertunjukan Dikir Barat oleh Kumpulan Dikir Barat oleh Kumpulan Dikir Barat Kota Bharu turut berlangsung pada majlis yang berlangsung selama dua hari manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyempurnakan majlis perasmian di Dataran MPKB.

No comments:

Post a Comment